Kesohoran dinar sebagai satu mata wang rasmi
dalam sektor ekonomi sudah lama tersemat dalam lembaran sejarah Tamadun Islam.
Dewasa ini komoditi ini seringkali dicanangkan sebagai instrumen alternatif
dalam aktiviti ekonomi dunia semasa. Fakta ini adalah berasaskan kepada nilai
intrinsik atau tersendiri yang diyakini boleh digunapakai secara lebih meluas
serta konsisten. Namun demikian, masih ramai belum mengetahui dari mana dan
bagaimana ia boleh berkembang sehingga menjadi satu mata wang utama dalam kronologi
ketamadunan Islam.
Sekiranya
dinar emas mampu dinobatkan sebagai mata wang utama pada ketika itu adalah
tidak mustahil seandainya penggunaan komoditi ini boleh diperkenalkan semula
sebagai mata wang alternatif pada alaf baru ini. Barangkali slogan Nothing
Beats Gold, Zero Inflation in 1400 years adalah amat berketepatan dan
bersesuaian dalam menyatakan hakikat tersebut.
Terfikirkah
anda semenjak zaman Nabi Muhammad SAW lagi, kita tidak pernah mendengar serta
mengalami keadaan inflasi. Tetapi pada hari ini ungkapan tersebut seringkali
“menjelma“ sambil disulami atau lebih sinonim dengan kelesuan ekonomi sejagat.
Kenapa semua ini boleh berlaku? Jawapannya ialah mata wang konvensional yang
tersedia ada tidak lagi berlandaskan pada sandaran emas secara mutlak. Justeru
marilah kita mengimbas kembali keunggulan serta kegemilangan dinar emas
semenjak bermulanya era ketamadunan Islam.
Masyarakat
Arab Jahiliyyah pada ketika itu menggunakan dinar emas Heraclius Byzantine yang
berasal dari negeri Syam manakala dirham perak Sasaniyah pula dari Iraq.
Tatkala itu mereka tidak mempunyai mata wang tersendiri untuk melaksanakan
urusniaga perniagaan dalam mahupun luar negara.
Penggunaan
kedua-dua mata wang ini adalah bagi memudahkan urusniaga terutamanya pada masa
yang melibatkan perdagangan utama di Syam pada musim panas manakala di Yaman
pada musim sejuk. Namun demikian, keadaan mulai berubah apabila Nabi Muhammad
SAW dipilih sebagai Rasul, dinar dan dirham telah dinaiktarafkan sebagai
matawang rasmi urusniaga sektor ekonomi kerana terdapat keseragaman bagi tujuan
memudahkan urusniaga.
Ketika
ini jugalah reka bentuk berunsur Islam mula digunakan dalam penempaan dinar
serta dirham. Pada tahun 18H atau 20H, Saidina Omar RA telah menambah pada
dirham Sasaniyah beberapa elemen dengan tulisan khat Kufi seperti Bismillah,
Bismillah Rabbi dan Alhamdullillah serta sesetengahnya Muhammad Rasulullah yang
ditempa pada keliling gambar Kisra.
Beliau
turut menetapkan piawaian bahawa 10 dirham bersamaan 7 dinar dan ini kekal
digunapakai sehingga kini. Satu dinar mempunyai 91.6 peratus atau 22 karat
seberat 4.25 gram manakala dirham ialah syiling perak seberat 2.975 gram.
Dalam
rekaan ini ukiran pada permukaan mata wang adalah rekabentuk Islam yang khusus
tanpa wujudnya elemen-elemen Byzantine dan Parsi muncul pada tahun 76H hasil
cetusan idea Khalifah Abd al-Malik bin Marwan pada zaman Bani Umaiyyah. Senario
ini turut dimangkinkan oleh perselisihan faham yang berlaku antara baginda
dengan Raja Rom. Pada ketika itu khalifah Abd Al-Malik bin Marwan telah
diktiraf oleh Ibn Jarir al-Tabari dan Ibn al-Athir sebagai perintis menempa
dinar dan dirham dalam unsur-unsur Islam.
Aplikasi
dinar tidak hanya berlegar di bumi Arab tetapi melangkaui kepada ketamadunan
Andalusia. Kegiatan perdagangan berkembang pesat selama 700 tahun di Andalusia
telah memangkin penggunaan dinar emas serta perak sebagai mata wang utama.
Pada
tahun 716 M, umat Islam Andalusia telah mula menempa dinar emas dengan ukiran
bahasa Arab serta ditulis “Muhammad Rasulluah” di samping mencatatkan nama
Andalusia iaitu tempat tempahan dinar berserta tahun diperbuat. Di belakang
dinar emas ini turut diukir dengan tulisan Latin yang bersesuaian dengan
kehidupan masyarakat Islam Andalusia pada ketika itu.
Bukti
sejarah juga menunjukkan bahawa setelah tamatnya pemerintahan Andalusia,
masyarakat semasa pemerintahan Kristian masih meneruskan penggunaan dinar emas
selama lebih 400 tahun. Dalam era moden ini, pada tahun 1992 dinar emas pertama
Eropah kembali ditempah di Granada, Sepanyol yang sekaligus merupakan sesuatu
peristiwa yang sungguh menarik.
Menurut
analisa yang dibuat sepanjang kecemerlangannya dinar emas turut mengalami
ketidaktentuan terhadap cabaran serta krisis semasa. Pada suatu ketika stok
emas tidak mencukupi memandangkan siri peperangan semakin meruncing. Justeru
perak dicampurkan tembaga menjadi matawang rasmi dan digunakan di Mesir serta
Syam di bawah pentadbiran Bani Ayyub.
Penggunaan
dinar serta dirham terus bertahan aplikasinya pada masa keagungan kerajaan
Othmaniah Turki (1299M-1924M). Pada hari ini, nama dinar serta dirham masih
digunakan sebagai mata wang rasmi di beberapa buah negara di Timur Tengah
seperti dinar di Tunisia, Kuwait, Libya, Bahrain, Algeria, Jordan manakala
dirham Di Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Maghribi.
Di
Malaysia berkat pengalaman kelesuan ekonomi global pada 1997 dinar emas yang
diperbuat daripada emas 916 telah mula dikembalikan kegemilangan sebagai medium
penyimpan nilai yang tinggi, stabil, sentiasa berpotensi untuk meningkat nilai
serta komoditi yang paling selamat.
Dalam
konteks yang lebih luas dinar emas turut mampu dijadikan perantaraan urusniaga
, gaji dan bonus pekerja, mahar dan hantaran perkahwinan, urusan haji dan
umrah, zakat dan serta semua pembayaran perniagaan dalam dan luar negara bagi
negara yang berminat.
Hal
ini kerana dinar emas mempunyai nilai intrinsik atau tersendiri yang
diterimapakai oleh masyarakat dunia. Nilai emas adalah stabil dan meningkat
dari semasa ke semasa berbanding mata wang konvesional yang seringkali menjadi
mangsa “serang hendap” para penyangak mata wang antarabangsa bagi mengaut
keuntungan mudah dan besar.
Comments
Post a Comment