Skip to main content

Sejarah Kepala Batas, Pulau Pinang

Gambar diatas : Menunjukan Jalan Kedah dari Utara (Sungai Petani menuju Ke Butterworth     melalui Pekan Kepala Batas)
Kepala Batas merupakan sebuah pekan yang terletak dalam daerah Seberang Perai Utara(SPU)  dalam negeri Pulau Pinang. Mungkin disebabkan oleh Kepala Batas merupakan pekan terakhir jalan menuju ke negeri Kedah sebab itu jalan dari pekan ini menuju utara disebut Jalan Kedah, manakala jalan yang menuju ke Selatan pula disebut Jalan Perak.
Kepala Batas secara geografiknya di bahagian utara ,barat dan selatannya adalah kawasan sawah padi,sementara di sebelah timurnya dulu adalah ladang getah atau kelapa sawit milikan Bertam Estate yang kini telah dibangunkan menjadi Bandar Bertam Perdana. Semasa pembukaan tanah-tanah paya di utara Seberang Perai ini untuk dijadikan sawah dan ladang maka Pihak Kerajaan Inggeris telah mengorek tali air utama untuk saliran air kelaut bermula dari kawasan Lahar Ikan Mati dan Kepala Batas menuju ke Titi Mukim ,Telok Air Tawar dan ke Lahar Endin, Penaga.Bermula dari Timbunan tanah sepanjang tali air itu maka terbina pula jalan raya menjadikan banyak kampong-kampong dapat dihubungkan melalui jalan darat berbanding jalan sungai sebelum ini. 
Pusat Pentadbiran Daerah SPU telah berpindah dari Butterworth ke Kepala Batas pada tanggal 7 Oktober 1996. Pusat Pentadbiran Daerah SPU ini menempatkan  Jabatan Kerajaan /  Agensi Negeri dan Pusat seperti Jabatan Kerjaraya, Kompleks Sukan MPSP, Hospital Daerah Kepala Batas, Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, PBA, Jabatan Bomba, Pusat Budi Penyayang, Pejabat Daerah SPU, Wisma Persekutuan, Mahkamah Syariah dan lain-lain.

2. SEJARAH PEKAN KEPALA BATAS
Kewujudan Pekan Kepala Batas dapat dikesan dari peta lama seawal 1839.Namun mengikut sejarah Masjid terawal disini ia nya bermula pada 1784, iaitu Masjid Lebai Abdul Kadir yang terletak asalnya berhampiran Tanah Perkuburan di Simpang Tiga Lahar Ikan Mati, kira-kita setengah kilometer ke utara Pekan lama Kepala Batas sekarang ini.

3. ASAL USUL NAMA KEPALA BATAS
Asal usul nama Kepala Batas mengikut versi Wikipedia pula 'Kepala batas' bermaksud bahagian depan sawah padi. Batas ialah pemisah antara tanah pesawah-pesawah padi. Biasanya batas ini dibuat daripada tanah sebagai benteng penahan air agar paras air dalam sawah tidak terlalu banyak. Jika paras air di dalam sawah lebih daripada sejengkal, padi agak susah ditanam . Anak padi akan tenggelam, terutama jika selepas hujan lebat. Batas air di dalam sawah perlu dikawal sepanjang masa.
Sebagai kawasan persisiran pantai, kawasan ini pada masa dahulu mempunyai saliran yang buruk dan sering dilanda banjir. Dengan itu tidak sesuai untuk tanaman kecuali padi yang tumbuh di dalam air. Oleh itu pembinaan saliran adalah satu langkah untuk pemulihan atau tebus-guna tanah. Banyak kawasan di Kedah dan Pulau Pinang melalui proses ini. Sungai Korok di Kedah mahu pun di Pulau Pinang adalah pelat buruh dari Jawa yang menyebut "korok" walhal di Kedah lebih tepat dipanggil Sungai Korek. Di tebing Sungai Korek ini biasanya ada timbunan tanah dari parit sebagai benteng untuk mengelak kemasukan air masin. Timbunan tanah sepanjang parit korek ini dipanggil batas atau bund dalam bahasa Inggeris. Hujung bund ini di mana parit berakhir atau bertembung dengan parit lain dipanggil kepala batas. Oleh itu kita boleh dapati beberapa tempat di Kedah dan Perlis mempunyai nama yang sama iaitu Kepala Batas.

4. SEJARAH TARIKH KEMERDEKAAN 
Gambar diatas : Menunjukan Rumah Sejarah Bersama Penulis (Mesyuarat Penetapan Tarikh Kemerdekaan Diadakah Di Rumah Ini Oleh Tunku Abdul Rahman, Haji Ahmad Badawai Dan Tokoh-Tokoh Lain)
Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu merupakan peristiwa penting kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Penetapan Tarikh ini dipilih hasil dari mesyuarat di antara Tunku Abdul Rahman ,Haji Abdul Rahman Palestin, Ketua Pemuda UMNO Tun Sardon Jubir , Haji Ahmad Badawi (bapa Perdana Menteri Malaysia ke-5) dengan Tuan Syeikh Abdullah Fahim yang juga Mufti Pulau Pinang, Haji Abdullah Fahim (bapa Haji Ahmad Badawi) di Kepala BatasPulau Pinang pada 1956.
Sebenarnya Tarikh 31 Ogos adalah hasil pendapat dan pandangan firasat Syeikh Abdullah Fahim yang sangat terkenal bukan sahaja sebagai Alim Ulama ketika itu namun beliau juga dalah seorang Ahli Falak yang diperakui kepakarannya oleh pihak Inggeris sendiri. Menurut cerita penduduk tempatan bahawa sebelum Tunku Abdul Rahman berangkat ke England untuk menuntut kemerdekaan dan penetapan tarikh yang sesuai maka beliau telah berunding dan merujuk perkara ini kepada Tuan Syeikh Abdullah Fahim sehingga tarikh 31 Ogos ini ditetapkan begitu dan menurut firasat Tuan Syeikh jika kemerdekaan tidak dapat dicapai pada tarikh tersebut maka tarikh yang sesuai adalah pada 31 Ogos 1962,bermakna  6 tahun pula selepas itu. Kata Beliau bahawa tarikh 31 Ogos 1957 itu dalam bahasa Arab adalah “Am khir atana” yang bermaksud “Tahun baik datang kepada kita”. Maka Kepala Batas sewajarnya di kenang setiap tahun sebagai “Bandar Kemerdekaan” kerana tarikh Kemerdekaan 31 Ogos ini telah ditentukan disini dengan izin Allah.

5. SEJARAH MASJID AL-JAMIUL BADAWI, KEPALA BATAS

Sebuah masjid yang hanya berdindingkan kayu dan berbumbungkan atap telah dibina pada 1784 di sebidang tanah Lebai Abdul Kadir. Masjid yang bersebelahan tanah perkuburan juga tanah Lebai Abdul Kadir itu telah dimanfaatkan oleh semua penduduk kampung. Setelah itu, para ulama, tok-tok guru di masjid itu serta penduduk kampong telah bersepakat untuk membina masjid yang lebih besar kerana bilangan penduduk saban hari semakin meningkat bilangannya.
Masjid Permatang Bertam telah ditubuhkan pada 1804 di atas tanah yang diwakafkan oleh seorang hamba Allah. Masjid itu adalah berhadapan dengan Sekolah Kebangsaan Permatang Bertam. Alhamdulillaah, keluasannya telah memuatkan penduduk sekitar untuk berjemaah di situ. Apabila penduduk Islam semakin ramai di kawasan itu, satu lagi masjid telah dibina di atas tanah milik datuk dan nenek kepada Tuan Haji Ahmad Bin Haji Man. Kawasan ini lebih berhampiran dengan Pekan Kepala Batas telah menjadi pusat tumpuan ibadah dan pusat perkembangan Islam sehingga tahun 1854.
Perkembangan Islam semakin rancak dan bertambah banyak saudara Islam di kawasan itu pada tahun 1854 menyebabkan masyarakat Islam di kawasan itu telah mencapai kata sepakat untuk membina masjid yang lebih besar untuk keselesaan masyarakat Islam. Tapak pembinaan masjid adalah tapak masjid sekarang. Pada masa itu, Allahyarham Tok Deris dan Allahyarham Tuan Haji Ibrahim bin Haji Mohd Tahir lah yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan urusan pembinaan ini untuk dibentangkan kepada Pegawai Daerah. Pelan itu telah diterima pakai oleh Jawatankuasa Pembinaan Masjid Pajak Song.
Pada tahun 1964, bangunan masjid ini telah dirobohkan untuk membina masjid yang baru dengan kelulusan dan peruntukan RM100,000 dari Kerajaan Pusat iaitu Kementerian Pembangunan Negara dari Luar Bandar. Peruntukan ini juga disokong oleh derma dari orang ramai sebanyak RM67,000. Masjid ini yang telah kukuh dibina dan telah diguna pakai sehingga sekarang adalah hasil usaha gigih Allahyarham Dato’ Haji Ahmad Badawi bin Haji Abdullah Fahim pada tahun 1963 merancang pembinaan masjid baru untuk menggantikan masjid yang lama di atas tapak yang sama. Allahyarham Dato’ Haji Ahmad Badawi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bagi kawasan Kepala Batas dan Ahli Dewan Undangan Negara Malaysia serta Nazir, Imam masjid ini telah banyak berjasa kepada penubuhan masjid ini.
Gambar diatas : Menunjukan Gambar Terkini Masjid  Al- Jamiul Badawi Di Permatang Bertam Kepala Batas

Masjid baru itu telah disiapkan sepenuhnya pada tahun 1965 dengan perbelanjaan RM167,000 setelah masjid lama teleh dirobohkan pada tahun 1964. Pada awal tahun 1966, masjid ini telah boleh diguna pakai sepenuhnya oleh masyarakat Islam sekitar kawasan Kepala Batas setelah kerja-kerja melengkapkan alat-alat dan perkakas-perkakasan yang lain yang berkaitan seperti sejadah, al-Quran, Hadis, majalah ilmiah, bekalan air dan elektrik dan sebagainya.
Pada 2 September 1966 bersamaan 17hb Jamdil Awal 1386 hari jumaat, masjid ini telah dirasmikan oleh YAB Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussain iaitu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar serta Menteri Pertahanan Malaysia. Nama masjid ini telah dinamakan sempena nama Allahyarham Dato’ Haji Ahmad Badawi bin Haji Abdullah Fahim di atas sumbangan dan jasa beliau. Masjid ini dinamakan Masjid al-Jamiul Badawi, Kepala Batas.
Gambar diatas : Admin Bergambar Kenangan Hadapan Masjid Jamiul Badawi
6. SEKOLAH DMW DAN SEKOLAH INGGERIS
Gambar diatas : Signboard Sekolah Menengah Agama Daeratul Maarif Al Wataniah Di Permatang Bertam Kepala Batas
Kepala Batas juga sangat dikenali oleh penduduk tempatan dan utara semenanjung Kedah, Perak Utara dan Perlis yang datang menghantar anak mereka untuk bersekolah dan mengaji di Sekolah swasta DMW singkatan dari Daeratul Maarif Al Wataniah yang telah dimulakan sejak sistem pondok  oleh Syeikh Abdullah Fahim dan diteruskan oleh Tuan Haji Ahmad Badawi menjadi sekolah agama dan akademik swasta. Lantaran itu ramai para ilmuan agama ,ustaz dan ulama dilahirkan dari institusi ini disamping menjadi tempat bersejarah dalam era menjelang kemerdekaan dimana YAB Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman dan Syeikh Abdullah Fahim sering bermesyuarat di Rumah Sejarah dan Rumah Merdeka dalam rangka untuk mendapatkan  kemerdekaan dari British pada 1950an.
Gambar diatas : Menunjukan Gambar Terkini Sekolah Menengah Agama Daeratul Maarif Al Wataniah Di Permatang Bertam Kepala Batas (Warisan Sekolah Pondok Syeikh Abdullah Fahim)
 Manakala Sekolah Inggeris sama ada Primary dan Secondary di Kepala Batas ini satu-satunya yang ada di Seberang Perai Utara di luar Butterworth. Pada 1960an Golongan berada di sekitar Kepala Batas,sehingga di Penaga sanggup menghantar anak-anak mereka kesini terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih untuk yuran dan duit bas demi prestij dapat” Bersekolah Orang Puteh” di Kepala Batas Secondary School.

Government English School, Kepala Batas
Government English School, Kepala Batas merupakan sekolah rendah Inggeris  telah dibuka dengan rasminya pada 6 September 1954. Pada masa penubuhannya sekolah ini mempunyai 3 orang guru termasuk Guru Besar iaitu E. Abdul Aziz bin Abdullah dan seorang jaga. Manakala bilangan murid seramai 81 orang.
Pada 10 Ogos 1958 , nama sekolah ditukarkan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Inggeris, Kepala Batas Berikutan dengan itu juga moto sekolah telah ditukar dari "Originality" kepada "Ilmu Panduan Hidup".
Sekolah ini dibuka dengan rasminya oleh YB Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu iaitu Datuk Wong Pow Nee pada 17 November 1960. Sekolah ini sekali lagi ditukar nama kepada Sekolah Rendah Kebangsaan Hashim Awang Kepala Batas oleh Lembaga Pengurus Sekolah , sempena nama pengasas sekolah ini pada 10 Julai 1972. Seterusnya sekolah ini telah ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Hashim Awang pada tahun 1997. 
Gambar diatas : Menunjukan Gambar Pintu Masuk Sekolah Kebangsaan Hashim Awang Kepala Batas (Asalnya Government English School, Kepala Batas)
Sekolah ini ditubuhkan atas permohonan penduduk tempatan bahawa tiada Sekolah Rendah Inggeris bagi kawasan Seberang Perai Utara. Sekolah Inggeris yang berhampiran sekali ialah di Bukit Mertajam dan di Butterworth. Syor-syor ini telah dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Undangan Negeri Pulau Pinang oleh YB En. Hashim Awang, ahli Majlis Mesyuarat Pulau Pinang pada masa itu. 

Kepala Batas Secondary School
Logo Asal KBSS
Pada awalnya dikenali sebagai Kepala Batas Secondary School. Merupakan satu-satunya sekolah menengah aliran Inggeris di kawasan Kepala Batas. Pada peringkat awal penubuhannya iaitu pada tahun 1961, jumlah pelajar hanya seramai 142 pelajar . Kemudian jumlahnya bertambah kepada 269 pada tahun 1962 dan seterusnya bertambah kepada 437 pada tahun 1963. Pada tahun tersebut para pelajarnya terdiri daripada 230 pelajar melayu lelaki dan 120 pelajar melayu perempuan, 34 pelajar cina lelaki dan 14 pelajar cina perempuan. Manakala pelajar India pula seramai 28 pelajar lelaki dan 10 pelajar perempuan. Terdapat juga seorang pelajar lelaki berketurunan siam. Sekolah ini bermula dengan 13 buah kelas.
 Gambar diatas : Menunjukan Gambar Bangunan Asal. 
Dari segi akademiknya, untuk pertama kalinya pihak sekolah telah menghantar seramai 78 calon pelajarnya untuk menduduki peperiksaan LCE pada tahun 1963.
Pada peringkat awal penubuhannya hanya terdapat 2 blok bangunan sahaja iaitu blok Muhibbah dan Kantin. Blok Muhibbah menempatkan sebuah pejabat, sepuluh buah kelas, sebuah makmal dan empat buah tandas untuk kegunaan pelajar dan guru.
Sekolah ini ditukarkan namanya kepada Sekolah Men Keb Datuk Haji Abdul Kadir sempena nama seorang tokoh tempatan iaitu Tuan Haji Abdul Kadir Bin Haji Hassan. Perasmian sekolah telah dilaksanakan oleh Yang Berhormat Dato’ Musa Hitam (Menteri Pendidikan ketika itu) pada hari Rabu, 24 September 1980.
Signboard Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdul Kadir
Kini, kawasan sekolah telah mengalami perubahan demi perubahan sesuai dengan perkembangan zaman semasa dan tuntutan teknologi pendidikan. Antara perubahan terkini ialah:-
  • ·         Bangunan asrama yang tersergam indah (beroperasi mulai tahun 2004)
  • ·         Tambahan bangunan baru 4 tingkat (mengantikan bangunan lama, di lokasi yang sama)
  • ·         Bangunan Surau
  • ·         Sebuah makmal komputer, sebuah makmal Produksi Multimedia dan sebuah pusat akses
  • ·         Capaian Internet (Wifi, LAN) hampir seluruh kawasan sekolah

7. PEKAN KEPALA BATAS
Gambar diatas : Menunjukan Gambar Terkini Simpang Empat Di Tengah Pekan Kepala Batas
Pekan Kepala Batas yang asal adalah berada di persimpangan tiga namun sekarang jadi simpang empat ditengah pekan. Di zaman 1960an kedai-kedai lama menjadi nadi pusat perniagaan dan mendapatkan perkhidmatan seperti Pejabat Pos bagi penduduk daerah Seberang Perai Utara ini selain dari Butterworth. Penduduk sekitar datang membeli kain pelikat,rempah ratus selain dari barang keperluan harian ,juga disini terdapat “Pasar Besar”menjual daging, ikan dan sayuran. Kedai-kedai makan juga menjadi tumpuan untuk merasai keenakan cucur udang,mee kuah dan roti canai juga yang paling unik terdapat dadih susu kerbau.
Gambar diatas : Menunjukan Gambar Terkini Simpang Empat Di Tengah Pekan Kepala Batas

8. PERUSAHAAN WARISAN
Dari aspek pertukangan Warisan Melayu Kepala Batas dikenali dengan pembuatan kasut Capal Jago dan pembuatan barangan berasaskan tembaga dan besi yang diusahakan oleh keluarga Pak Wan Cik Malata yang mempunyai bangunannya sendiri di Jalan Kepala Batas ke Butterworth. Perusahaan keluarga ini yang bermula sejak 1950an hingga masakini adalah diantara pengeluar utama acuan kuih tradisional melayu seperti acuan kuih baulu,kuih bangkit dan sebagainya yang di tempah oleh kedai-kedai di Kuala Lumpur dan Semenanjung Malaysia. Ketika  ini salah seorang waris perusahaan yang dikenali sebagai Acuan Noor Indah merupakan pembekal utama produk ini di Malaysia.
Gambar diatas : Menunjukan Gambar Terkini Kedai Warisan Capal Jago Di Jalan Kedah Kepala Batas 
Sementara itu perusahaan membuat kasut capal buatan tangan yang dikenali sebagai Capal berjenama Jago telah dimulakan oleh Tuan Hj Hashim sejak hampir 50 tahun lalu merupakan salah satu hasil warisan yang unik yang hanya terdapat di Kepala Batas,Pulau Pinang ini.

9. SENI DAN BUDAYA
Kepala Batas juga menjadi nostalgia yang masih segar bagi penduduk tempatan malah sangat masyhur di Utara Semenanjung dengan Ghazal Partinya. Berbeza dengan Ghazal di Johor yang berorientasikan Irama Melayu Asli dan gambus ,Ghazal Parti Kepala Batas lebih kepada lagu-lagu Arab irama padang pasir yang kemudiannya di selitkan juga irama Hindustan serta lawak jenaka. Terutama diera 1960an Ghazal Parti Kepala Batas menjadi pilihan ramai hiburan ketika kenduri dan majlis malam perkahwinan. Ketika itu juga sezaman dengan Zaman Pop Yeh-yeh.Diantara Bintang Ghazal yang terkenal adalah Idrus Saidi dan pelawak Hassan “Putu Mayong”. Namun sekitar 1980an Irama Ghazal telah tidak kedengaran lagi.

10. KESIMPULAN
Pembangunan yang kita kecapi pada hari ini merupakah usaha dan jasa-jasa orang terdahulu yang memperjuangkan kermerdekaan dan membangunkan negara dengan titik peluk dan tanpa kenal erti perit jerih. Andai generasi kini tidak menghargai serta alpa dengan nikmat yang dikecapi ketika ini pastinya akan mendatangkan malapetaka dikemudian hari. Negara Malaysia yang tercinta ini tidak terbina dengan sendirinya. Perjuangan pemimpin-pemimpin yang berjuang demi memerdekakan negara tercinta ini seharusnya sentiasa dikenang demi memupuk semangat patriotik dan cintakan negara.
Kepala Batas seharusnya di komersilkan sebagai Bandar Kemerdekaan kerana disini terletaknya rumah bersejarah yang menjadi pencetus tarikh keramat kermerdekaan Malaysia yang tercinta. Disini juga letaknya rumah kelahiran Perdana Menteri Malaysia yang ke-5, Bapa Islam Hadari Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi yang semestinya menjadi kesayangan dan kebanggaan penduduk Kepala Batas.
Pendekatan ini diharap dapat memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara untuk generasi muda dan untuk generasi yang akan datang. Sekaligus mampu melahirkan genarasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang dimasa akan datang. Pastinya akan menjadi pemangkin  kepada pembangunan negara dan keutuhan ekonomi serta politik demi negara Malaysia yang gah di mata dunia.
Gambar diatas : Menunjukan Gambar Penulis(Kiri) Bersama Saudara Mohamad Fairul Nizam Bin Mohamad Shafie(Kanan) Yang Banyak Memberi Maklumat Berkaitan Kepala Batas (Generasi Terkini Penduduk Kepala Batas)



Comments

  1. asalamualaikum. bole bertanya jap. pekan kepala batas mula berkembang sejak bila ke bila. terima kasih

    ReplyDelete
  2. Sek. Keb. Permatang Bertam tidak disebut langsung.. Mungkin tidak penting dlm sejarah Kepala Batas😔

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

BUKTI KISAH NABI MUSA MEMBELAH LAUT : KENDERAAN KETENTERAAN FIRAUN DI TEMUI DI DASAR LAUT MERAH.

    Seorang Arkeologi bernama Ron Wyatt pada akhir tahun 1988 silam mendakwa bahawa dia telah menemui beberapa roda kereta tempur kuno di dasar laut merah. Menurutnya, mungkin ini merupakan bangkai kereta tempur Firaun yang tenggelam di lautan tersebut ketika di gunakan untuk mengejar Nabi Musa bersama para pengikutnya.    Menurut pengakuannya, selain menemui beberapa bangkai roda kereta tempur berkuda, Wyatt bersama para krunya juga menemukan beberapa tulang manusia dan tulang kuda di tempat yang sama. Penemuan ini tentunya semakin memperkuatkan tekaan bahawa sisa-sisa tulang belulang itu merupakan bahagian dari kerangka para bala tentara Firaun yang tenggelam di laut Merah.    Apalagi dari hasil pengujian yang dilakukan di Stockhlom University terhadap beberapa sisa tulang belulang yang ditemui,memang benar adanya bahwa struktur dan kandungan beberapa tulang telah berusia sekitar 3500 tahun silam, dimana menurut sejarah,kejadian pengejaran itu juga terjadi dalam k

Tokoh-Tokoh Kepala Batas.

TOKOH BERKAITAN DENGAN KEPALA BATAS- SYEIKH ABDULLAH FAHIM Syeikh Abdullah Fahim adalah seorang ulama nasionalis dan agama. Beliau adalah mufti pertama Pulau Pinang selepas Kemerdekaan. Beliau juga merupakan datuk bapa bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi. Gambar diatas : Menunjukan Gambar  Syeikh Abdullah Fahim Latar Belakang Syeikh Abdullah Fahim Abdullah Fahim yang dikenali sebagai "Pak Him" ​​dilahirkan di Mekah pada tahun 1286 Hijrah/1869 Masihi. Fahim yang dimaksudkan di sini ialah `Fahim' yang berasal daripada bahasa Arab, yang bererti `orang yang faham'. Pendidikan Syeikh Abdullah Fahim Abdullah Fahim mendapat pendidikan asas tradisional daripada ayahnya sendiri, Haji Ibrahim bin Tahir di Mekah. Ayahnya seorang yang alim mengenai bacaan al-Quran. Datuknya pula, Haji Tahir berasal dari Patani. Dikatakan juga bahawa beliau memahami ilmu-ilmu Islam tradisional cara Patani. Ilmu yang dikuatkan adalah