Skip to main content

Tokoh-Tokoh Kepala Batas.

TOKOH BERKAITAN DENGAN KEPALA BATAS- SYEIKH ABDULLAH FAHIM
Syeikh Abdullah Fahim adalah seorang ulama nasionalis dan agama. Beliau adalah mufti pertama Pulau Pinang selepas Kemerdekaan. Beliau juga merupakan datuk bapa bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi.
Gambar diatas : Menunjukan Gambar Syeikh Abdullah Fahim

Latar Belakang Syeikh Abdullah Fahim
Abdullah Fahim yang dikenali sebagai "Pak Him" ​​dilahirkan di Mekah pada tahun 1286 Hijrah/1869 Masihi. Fahim yang dimaksudkan di sini ialah `Fahim' yang berasal daripada bahasa Arab, yang bererti `orang yang faham'.
Pendidikan Syeikh Abdullah Fahim
Abdullah Fahim mendapat pendidikan asas tradisional daripada ayahnya sendiri, Haji Ibrahim bin Tahir di Mekah. Ayahnya seorang yang alim mengenai bacaan al-Quran. Datuknya pula, Haji Tahir berasal dari Patani. Dikatakan juga bahawa beliau memahami ilmu-ilmu Islam tradisional cara Patani.
Ilmu yang dikuatkan adalah tiga jenis; ilmu yang berkaitan dengan fardu ain, iaitu menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, berimamkan Imam Abu Hasan al-Asy`ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Kedua, ilmu fikah mengikut Mazhab Syafie, dan ketiga, ilu tasawuf berimamkan Syeikh Junaid al-Baghdadi. Selanjutnya Abdullah Fahim mendapat pendidikan pelbagai bidang ilmu juga di Mekah.
Guru-Guru Syeikh Abdullah Fahim
Beliau menuntut ilmu daripada kira-kira 50 orang ulama. Di antara gurunya yang berbangsa Arab ialah Syeikh Muhammad Said Babsail (Mufti Mazhab Syafie), Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayed Abu Bakri Syatha (penyusun kitab I'anah at-Thalibin). Ulama dari dunia Melayu yang menjadi gurunya yang paling berpengaruh baginya ialah Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al- Fathani (penyusun kitab Mathla' al-Badrain), Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan, al-Kalantani (penyusun Al-Jauhar al-Mauhub dan Lum'ah al-Aurad) dan Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (pengasas pengkaderan ulama dunia Melayu di Mekah yang dikatakan mempunyai kemahiran sekurang-kurangnya 47 disiplin ilmu).
Sahabat
Sewaktu menuntut ilmu di Mekah, Abdullah Fahim bersahabat dengan beberapa orang yang berasal dari dunia Melayu, yang kemudian menjadi ulama dan tokoh-tokoh yang cukup terkenal. Di antara mereka ialah: Tuan Guru Haji Umar, Sungai Keladi Kelantan, Syeikh Tahir Jalaluddin, Minangkabau, K.H. Hasyim Asy'ari, Jawa Timur, Tok Kenali, Kelantan dan ramai lagi.
Menyebarkan Ilmu
Abdullah Fahim seorang yang gigih mengajar kepada masyarakat dan menyebarkan ilmu-ilmu keIslaman, sama ada ketika menjawat jawatan Mufti Pulau Pinang atau sebelumnya. Beliau pernah mengajar di beberapa tempat di Kedah, Kuala Kangsar, Perak dan Pulau Pinang.  Selanjutnya beliau berhasil mendirikan sekolah agama di Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.
Kemahiran Syeikh Abdullah Fahim

Abdullah Fahim termasuk salah seorang ulama yang mahir dalam ilmu falak. Oleh kerana itu pendapatnya telah diminta untuk menentukan waktu yang sesuai bagi kemerdekaan Malaya.
Berdasarkan hisab dan falak Syeikh Abdullah Fahim, ditentukanlah bahawa hari kemerdekaan Malaya jatuh pada tanggal 31 Ogos 1957. Mengenai ilmu hisab dan falak, beliau mempelajarinya daripada Syeikh Ahmad al-Fathani dan kemudian memahirkannya daripada Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Muhammad/ Syeikh Nik Mat Kecik bin Ismail Daudi al-Fathani, sahabatnya.
Ulama dunia Melayu yang seangkatan dengannya yang mahir dalam ilmu hisab dan falak tidak begitu ramai. Di antaranya yang berasal dari Malaysia ialah: Haji umar, Sungai Keladi Kelantan, Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Qadhi Muar, Johor. Sementara mereka yang berasal dari Indonesia pula ialah Syeikh Jamil Jambek dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Mereka yang berasal dari Patani ialah Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani.
Selain ilmu hisab dan falak yang dikuasai oleh Abdullah Fahim, ialah ilmu sastera Arab, yang dinamakan juga ilmu `arudh dan qawafi. Termasuk juga di dalamnya ialah ilmu isti`arah dan ilmu balaghah. Pengkaderan ilmu yang tersebut juga dimulai dengan kebangkitan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Kader dan murid Syeikh Ahmad al-Fathani yang mahir menggubah syair dalam bahasa Arab secara profesional hanya beberapa orang, di antara mereka ialah: Syeikh Abdullah Fahim, Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani dan Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor.
Karya-karya hasil tulisan Abdullah Fahim yang paling dapat ditonjolkan hanyalah melalui syair-syairnya dalam bahasa Arab, yang ditulis di dalam beberapa buah kitab yang diterbitkan oleh Persama Press Pulau Pinang, terutama sekali di dalam kitab-kitab mengenai ilmu hadis. Di antaranya dalam kitab al-Hadiqah an-Nadiyah fi al-Hadits an-Nabawiyah yang disusun oleh Abi Abdil Hay Muhammad Isa bin Ibrahim ar-Rawa al-Filfulani (Rabiulakhir 1352 H). Ada yang mengatakan bahawa Abdullah Fahim pernah menyusun sebuah kitab tafsir dan kitab mengenai ilmu falak tetapi tidak sempat diselesaikannya.
Syeikh Abdullah Fahim Pengasas PAS
Beliau adalah salah seorang yang ulama yang memulakan Hisbul Muslimin, yang kemudiannya dikenali sebagai Parti Islam Se-Malaysia atau PAS, salah satu parti pembangkang utama di Malaysia yang berjuang untuk agenda Islamis. Ironinya, anaknya dan cucu menjadi pemimpin dalam UMNO.
Syeikh Abdullah Fahim wafat pada tanggal 12 Zulkaedah 1380 Hijrah/ 27 April 1961 Masihi di Seberang Perai, Pulau Pinang.

TOKOH BERKAITAN DENGAN KEPALA BATAS- DATUK HAJI AHMAD BADAWI BIN SYEIKH ABULLAH FAHIM.
Gambar diatas : Menunjukan Gambar Datuk Haji Ahmad Badawi Bin Syeikh Abdullah Fahim

Latar Belakang Datuk Ahmad Badawi
Datuk Ahmad Badawi dilahirkan di Makkah ketika bapanya, Sheikh Abdullah Fahim meneruskan pengajian ilmu Islam di tanah suci itu. Beliau mempunyai seorang isteri, Datin Kailan binti Haji Hassan. Datuk Ahmad Badawi meninggal dunia pada 7 Mei 1977.
Pejuang UMNO
Sebagai satu parti yang meletakkan agama Islam sebagai asas perjuangan sejak penubuhannya, UMNO mempunyai barisan kepemimpinan ulama yang tidak gentar berhadapan dengan musuh yang berani mencabar maruah agama, bangsa dan negara. Antara tokoh ulama awal yang menyertai perjuangan UMNO sejak Tanah Melayu belum mencapai kemerdekaan ialah Dato’ Haji Ahmad Badawi bin Sheikh Abdullah Fahim iaitu bapa kepada bekas Perdana Menteri ke-5 dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sejak tertubuhnya UMNO pada 1946, beliau memaparkan semangat juang yang tinggi untuk membebaskan bangsa dan tanah air daripada belenggu penjajahan di samping mengisi erti kemerdekaan. Sepanjang hayatnya, beliau menjadikan agama Islam sebagai tunjang perjuangannya. Dalam setiap ceramahnya, beliau tidak pernah ketinggalan untuk menyuntik semangat perjuangan Islam di kalangan ahli-ahli UMNO. Dorongan itu amat terserlah khususnya ketika UMNO sedang berjuang habis-habisan untuk menentang penjajahan Inggeris yang ketika itu semakin keras menentang kebangkitan orang Melayu.
Kepimpinan Datuk Ahmad Badawi
Dato’ Haji Ahmad Badawi adalah seorang pemimpin yang berwawasan jauh. Beliau sudah mengingatkan ahli-ahli Umno mengenai bahaya politik wang, bahaya meninggalkan asas Islam dalam perjuangan parti, bahaya menjadi pemimpin yang takbur dan sombong, bahaya tidak melaksanakan ajaran Islam dan bahaya perpecahan bangsa Melayu. Jelas, Dato’ Haji Ahmad Badawi bukan saja hanya bercakap saja mengenai perjuangan tetapi melaksanakan apa yang dilafazkan.
Antara contoh paling jelas ialah pengorbanan beliau yang sanggup bekerja tanpa mengambil wang rakyat meskipun wang itu adalah selaras dengan kerja-kerja yang beliau lakukan. Allahyarham tidak pernah mengambil elaun perjalanan, elaun mesyuarat dan beberapa elaun lain yang layak diterimanya semenjak beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (Adun) dan ahli Exco Pulau Pinang. Perkara ini disahkan oleh Bahagian Kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Beliau juga enggan menerima gaji yang banyak ketika beliau dipertanggungjawabkan untuk menjadi  pengetua sebuah sekolah agama yang digelar “Daeratul Maarif al-Wataniayah” di Kepala Batas, Pulau Pinang. Pada kebiasaannya, pengetua sekolah menengah yang menempatkan pelajar lelaki dan wanita ramai sehingga beratus-ratus orang akan menerima gaji sehingga beribu-ribu ringgit setiap bulan. Tetapi atas dasar perjuangan Haji Ahmad Badawi yang berasaskan kecintaannya kepada perjuangan agama, bangsa dan negara, Allahyarham mengenepikan kenikmatan harta dunia yang dianggapnya bersifat sementara sahaja. Justeru, bagi jawatan itu, Allahyarham hanya menerima elaun RM50 sebulan. Malah, beliau menggunakan harta bapanya, seorang lagi pejuang bangsa Melayu yang tulen, Sheikh Abddulah Fahim, untuk dibelanjakan bagi wang saku, wang untuk keretanya yang berjenama Morris 8 model tahun 1951 dan sara hidup keluarganya. Allahyarham tidak sanggup untuk mengambil wang gaji memandangkan sekolah tidak memiliki dana kewangan yang cukup kerana hidup matinya sekolah itu amat bergantung kepada wang yuran RM2 sebulan yang disumbang pelajar. Perjuangan Islam yang ditegakkan oleh Allahyarham amat terserlah kerana di peringkat awal perjuangan UMNO, tokoh Pulau Pinang itu menjadi ulama UMNO yang ulung dalam usahanya menyeru kepada ahli-ahli UMNO dan bangsa Melayu khususnya supaya menjadikan Islam sebagai cara hidup mereka.
Ini terbukti apabila beliau amat menentang gejala rasuah di kalangan bangsa Melayu. Beliau juga amat tegas dalam menegakkan syiar Islam di dalam parti dan negara khususnya dalam menentang kemungkaran yang membabitkan kepentingan umum seperti rasuah.
Politik Datuk Ahmad Badawi
Beliau juga seorang pejuang yang tidak mementingkan jawatan,. Walaupun beliau pernah menjadi Naib Ketua Pergerakan Pmuda Umno yang sanggup berdepan secara langsung dengan penjajah British, tetapi demi muafakat bangsa Melayu beliau tidak kecewa apabila orang lain yang dipilih sebagai Ketua Pemuda. Ini terbukti apabila krisis kepemimpinan berlaku dalam UMNO dan Allahyarham Kapt Tun Hussein meletak jawatannya, Dato’ Haji Ahmad Badawi, memegang jawatan itu selama empat bulan. Selepas itu,  Saadon Jubir (Tun) dipilih memegang jawatan itu, Dato’ Ahmad Badawi tetap memegang sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda. Proses berlangsung tanpa sebarang kekecohan.

Inilah sikap pemimpin bangsa Melayu yang perlu dijadikan model dalam sejarah perjuangan bangsa Melayu.  Dato’ Haji Ahmad Badawi adalah lambang bagi kebangkitan perjuangan Islam dalam Umno dalam usaha mengukuhkan bangsa Melayu di peringkat awal perjuangannya. Teras yang ditanam kukuh menjadikan Umno kini menjadi parti Islam bangsa Melayu yang terbesar dan paling kukuh di dunia sehingga hari ini.

TOKOH BERKAITAN DENGAN KEPALA BATAS- TUN ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI
Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga dikenali sebagai “Pak Lah” merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kelima yang telah mengambil alih pucuk pimpinan negara dari Tun Dr. Mahathir Mohamad. Dengan reputasinya sebagai seorang yang bertanggungjawab, sabar, tabah, bertoleransi, sukakan perpaduan, mesra, kuat bekerja dan yang paling utama kuat beragama yang menjadikan beliau seorang pemimpin yang paling diharapkan bagi memacu Malaysia ke tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan. Fokus pentadbiran beliau berbeza dengan empat perdana menteri sebelumnya kerana beliau lebih menekankan pengurusan negara berkonsepkan ”Islam Hadhari” selain Pembangunan Modal Insan. Tun Abdullah Ahmad Badawi telah dikenang dengan gelaran sebagai ‘”Bapa Pembangunan Modal Insan”.
Gambar diatas : Menunjukan Gambar Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi
Latar Belakang Tun Abdullah Ahmad Badawi
Tun Abdullah Ahmad Badawi berasal dari keturunan keluarga yang mempunyai latar belakang keagamaan yang kuat dan keintelektualan yang tinggi. Beliau dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Bapanya Hj. Ahmad Badawi juga merupakan seorang ulama dan ahli politik yang pernah menjadi ahli Parlimen bagi kawasan Kepala Batas. Datuknya Syeikh Abdullah Fahim merupakan ulama tersohor negara. Juga merupakan individu penting yang menetapkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu. Tun Abdullah berkahwin dengan Allahyarhamah Datin Seri Endon binti Dato’ Mahmood pada tahun 1965 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Kamaluddin dan Nori dan empat orang cucu. Pada 20 Oktober 2005, Datin Seri Endon Mahmood telah meninggal dunia kerana menghidap penyakit barah payudara sejak tahun 2003. Pada 9 Jun 2007, Tun Abdullah telah berkahwin dengan Datin Seri Jeanne Abdullah.
Pendidikan Tun Abdullah Ahmad Badawi
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Permatang Bertam, Kepala Batas. Manakala pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Daeratul Maarifil Al-Wataniah, Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan Sekolah Lelaki Methodist Pulau Pinang. Selepas menamatkan persekolahan, beliau pernah berkhidmat sebagai seorang guru. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya selama tiga tahun (1962-1964) dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam Pengajian Islam.
Kerjaya Tun Abdullah Ahmad Badawi
Tun Abdullah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Pengaman Persekutuan, di Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri dari tahun 1964 sehingga 1969. Pada tahun 1969, beliau telah menjadi Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan di bawah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebuah badan yang berkuasa eksekutif untuk mentadbir negara yang telah ditubuhkan selepas peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Pada tahun 1971, Tun Abdullah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Belia di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sehingga 1973, sebelum menjadi Timbalan Ketua Pengarah dalam Kementerian yang sama pada tahun 1974.
Perjuangan Politik
Tun Abdullah mula menyertai UMNO pada tahun 1965. Beliau mula bergiat aktif dalam arena politik setelah dipilih menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas. Pada tahun 1978, beliau telah meletak jawatan dalam perkhidmatan kerajaan untuk menjadi ahli politik sepenuh masa. Pada tahun yang sama, beliau telah bertanding pada Pilihan Raya Umum 1978 sebagai calon Barisan Nasional dan memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas di Seberang Perai Utara. Tun Abdullah telah dipilih untuk memegang jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1984, 1987, 1990, dan dipilih semula untuk jawatan tersebut pada tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000, Tun Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi tahun 2000-2003. Beliau memegang jawatan sebagai Presiden UMNO sejak tahun 2003 sehingga 2008.
Bapa Pembangunan Modal Insan
Jasa dan sumbangan Tun Abdullah begitu besar dalam usaha pembagunan modal insan negara. Keperihatinan beliau terhadap kepentingan kualiti modal insan negara dapat digambarkan melalui pengenalan slogan “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang”. Slogan ini memberi makna yang cukup mendalam kepada semua pihak yang dipertanggungjawabkan bagi melaksanakan usaha untuk membina modal insan negara. Kualiti cemerlang, gemilang dan terbilang merupakan satu tahap pencapaian unggul yang perlu dijadikan matlamat dan hala tuju pembangunan modal insan negara secara individu dan kolektif.
Program pembangunan modal insan telah diperkenalkan oleh Tun Abdullah  pada tahun 2005. Modal insan bermaksud sesuatu yang digunakan sebagai asas untuk pengembangan dan kelebihan yang dimiliki. Manusia boleh memperolehi sesuatu yang dihajati melalui ilmu pengetahuan dan pendidikan. Pembangunan modal insan adalah antara teras utama dalam melahirkan dan memperkembangkan ekonomi berlandaskan teknologi dan pengetahuan. Dalam hal ini, beliau menekankan kepentingan mengimbangkan antara pembangunan fizikal, mental dan spiritual. Keperihatinan beliau dalam usaha membangunkan modal insan ini juga tergambar dengan jelas melalui Misi Nasional Negara yang dijadikan sebagai panduan hala tuju utama negara.
Konsep Pengurusan Islam Hadhari
Setelah dilantik sebagai Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah mempunyai pendekatan tersendiri dalam menguruskan negara dengan memperkenalkan konsep “Islam Hadhari” sebagai cetusan kebangkitan dalam memperkasakan perjuangan bangsa. Konsep ini memberi lebih penekanan kepada aspek pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban iaitu peradaban yang dibina melalui pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha untuk mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal.
Beliau merealisasikan 10 prinsip utama Islam Hadhari iaitu meliputi ketaqwaan kepada Ilahi, kerajaan adil dan beramanah, rakyat berjiwa merdeka, penguasaan ilmu pengetahuan, pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif, kehidupan berkualiti, pembelaan hak kumpulan minority dan wanita, keutuhan budaya dan moral, pemeliharaan alam semula jadi dan kekuatan pertahanan.
Prinsip-prinsip ini adalah mengikut acuan yang telah diadun supaya amalan serta pendekatannya tidak akan menimbulkan salah faham dan kebimbangan kepada mana-mana pihak dalam sesebuah negara yang memiliki komposisi rakyatnya yang berbilang agama dan kaum. Pendekatan yang digariskan juga adalah bertujuan untuk memperkasakan umat Islam supaya lebih bersedia dan berupaya untuk menghadapi cabaran dunia semasa. Pada 2 April 2009, Tun Abdullah telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-lima, dan telah melantik timbalannya iaitu YBhg. Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Hj. Abdul Razak sebagai penggantinya.
Kronologi Kehidupan Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi
  • ·      1939    Dilahirkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 26 November
  • ·      1964    Memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti Malaya dan menjadi Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awan (Sehingga 1969)
  • ·      1965    Berkahwin dengan Datin Seri Endon Mahmood
  • ·      1969    Dilantik menjadi Ketua Penolong Setiausaha, Majlis Gerakan Negara     (MAGERAN)
  • ·      1971    Dilantik sebagai Ketua Pengarah, Kementerian Kebudayaan, Belia  dan Sukan (sehingga 1973)
  • ·      1974    Dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan
  • ·      1978    Menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas dan juga Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan (sehingga 1980)
  • ·      1979    Menjadi Ketua UMNO Cawangan Bertam serta Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas
  • ·      1980    Dilantik sebagai Timbalan Menteri Kementerian Wilayah Persekutuan (sehingga 1981)
  • ·      1981    Menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO dan menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (sehingga 1984)
  • ·      1984    Dilantik sebagai Menteri Pendidikan sehingga 1986 dan menjadi Naib Presiden UMNO sehingga 1990
  • ·      1986    Dilantik sebagai Menteri Pertahanan (sehingga 1987)
  • ·      1990    Dilantik sebagai Ketua Delegasi UMNO ke Jawatankuasa Perundingan Ekonomi Negara dan Pengerusi Jawatankuasa Penyusunan Semula Masyarakat
  • ·      1991    Dilantik sebagai Menteri Luar Negeri (sehingga 1999)
  • ·      1993    Menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO (sehingga 1996)
  • ·      1996    Menjadi Naib Presiden UMNO
  • ·      1998    Menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang
  • ·      1999    Dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada Januari sehingga Oktober 2003 dan menjadi Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN)
  • ·      2000    Menjadi Timbalan Presiden UMNO pada Mei
  • ·      2003    Dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima pada 31 Oktober 2003
  • ·      2004    Menjadi Presiden UMNO pada bulan September
  • ·      2005    Kematian  isteri, Datin Seri Endon Mahmood akibat penyakit barah payudara
  • ·      2007    Berkahwin dengan Datin Seri Jeanne Abdullah pada 9 Jun
  • ·      2009    Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 2 April

Comments

Popular posts from this blog

Sejarah Kepala Batas, Pulau Pinang

Gambar diatas : Menunjukan Jalan Kedah dari Utara (Sungai Petani menuju Ke Butterworth     melalui Pekan Kepala Batas) Kepala Batas merupakan sebuah pekan yang terletak dalam daerah Seberang Perai Utara(SPU)  dalam negeri Pulau Pinang. Mungkin disebabkan oleh Kepala Batas merupakan pekan terakhir jalan menuju ke negeri Kedah sebab itu jalan dari pekan ini menuju utara disebut Jalan Kedah, manakala jalan yang menuju ke Selatan pula disebut Jalan Perak. Kepala Batas secara geografiknya di bahagian utara ,barat dan selatannya adalah kawasan sawah padi,sementara di sebelah timurnya dulu adalah ladang getah atau kelapa sawit milikan Bertam Estate yang kini telah dibangunkan menjadi Bandar Bertam Perdana. Semasa pembukaan tanah-tanah paya di utara Seberang Perai ini untuk dijadikan sawah dan ladang maka Pihak Kerajaan Inggeris telah mengorek tali air utama untuk saliran air kelaut bermula dari kawasan Lahar Ikan Mati dan Kepala Batas menuju ke Titi Mukim ,Telok Air Tawar dan ke Laha

BUKTI KISAH NABI MUSA MEMBELAH LAUT : KENDERAAN KETENTERAAN FIRAUN DI TEMUI DI DASAR LAUT MERAH.

    Seorang Arkeologi bernama Ron Wyatt pada akhir tahun 1988 silam mendakwa bahawa dia telah menemui beberapa roda kereta tempur kuno di dasar laut merah. Menurutnya, mungkin ini merupakan bangkai kereta tempur Firaun yang tenggelam di lautan tersebut ketika di gunakan untuk mengejar Nabi Musa bersama para pengikutnya.    Menurut pengakuannya, selain menemui beberapa bangkai roda kereta tempur berkuda, Wyatt bersama para krunya juga menemukan beberapa tulang manusia dan tulang kuda di tempat yang sama. Penemuan ini tentunya semakin memperkuatkan tekaan bahawa sisa-sisa tulang belulang itu merupakan bahagian dari kerangka para bala tentara Firaun yang tenggelam di laut Merah.    Apalagi dari hasil pengujian yang dilakukan di Stockhlom University terhadap beberapa sisa tulang belulang yang ditemui,memang benar adanya bahwa struktur dan kandungan beberapa tulang telah berusia sekitar 3500 tahun silam, dimana menurut sejarah,kejadian pengejaran itu juga terjadi dalam k